Pereka Perisian iPhone

Meneroka kreativiti tempatan

Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

Di bawah projek bersepadu yang dilancarkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dengan Apple Inc., mereka yang ingin menunjukkan kemahiran dan kreativiti masing-masing dalam mereka perisian atau aplikasi bertaraf dunia dipelawa menyertai projek ini.



IPHONE, iPod dan Internet, apakah persamaan antara setiap subjek itu? Sudah tentu The App Store yang terdapat dalam ketiga-tiga aplikasi berkenaan. Mengapa? Ini kerana dengan The App Store, pengguna boleh memuat turun pelbagai perkara termasuk ratusan dan ribuan aplikasi program menarik.

Tidak kira permainan telefon, infografik saham, pencarian restoran makanan kegemaran, filem terkini atau memperoleh lagu-lagu terhebat di carta muzik, anda pasti tidak akan kecewa dengan aplikasi-aplikasi yang disediakan dari seluruh dunia.

Daripada kumpulan remaja, keluarga, pendidik, kakitangan korporat, usahawan sehinggalah blogger yang suka mengembara, iPhone semestinya teman setia anda. Manakan tidak, aplikasi-aplikasi ini memudahkan kehidupan seharian anda dengan memperoleh data dan informasi tepat pada caj harga yang berpatutan.


iPhone sememangnya sebuah gajet yang disukai ramai termasuk warga muda dan korporat.

Diperkenalkan oleh Apple Inc., The App Store mempunyai kepantasan penghantaran program yang tiada tandingan, selain membuka lebaran baru dalam dunia pelayaran Internet.

Seperti yang dinyatakan tadi, aplikasi ini boleh diperoleh dari serata dunia dan Malaysia tidak ketinggalan untuk menampilkan kelebihannya. Meskipun tidak begitu besar, sekumpulan pereka perisian tempatan telah mengambil keputusan untuk terjun ke dalam bidang tersebut bagi membawa aplikasi semasa yang trendy dan berguna.

Di bawah projek bersepadu yang dilancarkan oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), mereka yang ingin menunjukkan kemahiran dan kreativiti masing-masing dalam mereka aplikasi bertaraf dunia dipelawa menyertai projek itu.

Sebagai permulaan, inisiatif ini tertumpu pada iPhone yang seperti mana anda sedia maklum, ia merupakan sebuah gajet yang menerima permintaan tinggi di pasaran. Lebih-lebih lagi, apabila ada kajian membuktikan bahawa dalam masa kurang setahun, The App Store berjaya mencatatkan jualan satu bilion aplikasi.

Jason Khong, yang baru memperoleh Ijazah Sains Komputer dari Universiti Monash, Sunway, Petaling Jaya, menyumbang salah satu daripada aplikasi itu yang dikenali sebagai The Mistletoe App pada hujung tahun lalu. Bersempena dengan sambutan Hari Krismas, Jason memilih untuk menghasilkan sebuah perisian yang tidak terlalu kompleks.

“Ia adalah salah satu projek yang menyelitkan elemen keseronokan daripada memikirkan aktiviti yang terlalu berat. Selepas aplikasi ini diterima dan diluluskan oleh Apple, saya menimbang semula penyediaan perisian lain yang bersifat serius dan penting dalam jangka masa panjang,” jelasnya ketika ditemui Kosmo! di ibu kota.


APLIKASI olok-olok Kosmo! yang ditunjukkan oleh Jason Khong.

Continue reading

Advertisements