ISLAM DI TANAH MELAYU

Sebelum kedatangan Islam, masyrakat Melayu menganut fahaman animisme. Keadaan ini berubah selepas kedatangan Islam yang membawa konsep tauhid dengan menafikan kewujudan Tuhan yang banyak. Bermula dengan konsep keesaan Tuhan dan ibadat yang luas Islam telah berjaya menarik minat masyarakat tempatan. Sejak kedatangan Islam, kehidupan harian masyarakat Melayu dan adat istiadat tertentu yang didapati bertentangan dengan akidah ditinggalkan secara beransur-ansur (Ruslan Zainuddin, 2004: 91-92).

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu dipercayai bermula pada abad ke-7 masihi. Pandangan ini berdasarkan kemungkinan agama Islam disebarkan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ke Negara China. Seterusnya Islam semakin berkembang pesat berikutan dengan kemunculan beberapa buah kerajaan Islam di Pasai dan Perlak di persekitaran Selat Melaka pada abad ke-13 Masihi. Mengikut cacatan Marco Polo, agama Islam telah tersebar di Tanah Melayu sebelum abad ke-15. Pada tahun 1292, semasa Marco Polo dalam perjalanan pulang dari China, beliau telah melawat Sumatera. Perlak ialah pelabuhan pertama yang disinggahinya. Beliau menyatakan pada masa itu telah wujud usaha-usaha untuk mengislamkan penduduk tempatan oleh para pedagang Arab di Nusantara. Menurut beliau lagi, itulah satu-satunya negeri Islam di Kepulauan Melayu pada masa itu (Hall dlm Ruslan Zainuddin). Manakala Ibn Battutah, pengembara Arab yang singgah sebanyak dua kali di Samudera semasa dalam perjalanan pergi dan balik dari Negara China antara tahun 1345 hingga 1346, menyatakan bahawa raja Samudera ketika itu telah memeluk Islam dan mengamalkan Mazhab Shafie. Menurut beliau lagi, negeri-negeri lain di sekelilingnya masih belum mmeluk Islam. Sepanjang tempoh abad ke-13 dan ke-16 Masihi, agama Islam telah tersebar dengan meluas hampir ke seluruh Kepulauan Melayu dan mengurangkan pengaruh agama Hindu-Buddha yang bertapak berabad-abad lamanya di Tanah Melayu. Sejak itu, Islam telah berkembang pesat sehingga menjadi agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Kepulauan Melayu (Ruslan Zainuddin, 2004: 91).

Continue reading

Advertisements