Antivirus di luar talian

Revolusi perisian sekuriti

Oleh ADHAM SHADAN dan AQMAR ALLADAD
rencana@kosmo.com.my

Selamatkah komputer kita daripada virus-virus baru yang tidak dikenali walaupun ia telah dilengkapi perisian-perisian antivirus?



DALAM masa yang terdekat ini, satu revolusi dijangka akan tercetus dalam industri perisian antivirus komputer. Anda bakal boleh mengoperasikannya tanpa perlu sambungan Internet dan tidak perlu mengemas kini perisian dari semasa ke semasa.

Sebelum ini, kebanyakan pengeluar perisian antivirus komputer menyifatkan ia seperti tidak akan berlaku. Bagi mereka, adalah mustahil untuk sesuatu perisian antivirus itu bersifat stand alone atau beroperasi secara di luar talian Internet (offline) sepenuhnya.

Ia dianggap sukar untuk berlaku kerana produk antivirus konvensional mengesan atau mengimbas virus apabila ancaman itu berada di dalam memori capaian rawak (RAM) komputer. Kenyataan bahawa virus atau ancaman-ancaman seumpamanya turut disebar menerusi laman web Internet dan e-mel, maka sambungan ke Internet dilihat sebagai keperluan bagi mengesan kewujudannya.

Berdasarkan mekanisme biasa juga, produk antivirus konvensional mengesan virus-virus atau kolektifnya digelar ‘malware’, dengan menghubungkannya pada pangkalan data virus yang dibina syarikat pengeluar produk berkenaan. Ini juga perlu dilakukan dengan mengakses Internet.

Sebelum ini juga, perisian antivirus perlu dikemas kini selalu atau secara berkala kerana realitinya virus-virus terus terbentuk dari semasa ke semasa. Pakar-pakar teknologi menganggarkan sekurang-kurangnya terdapat 500 virus komputer baru yang dilepaskan ke Internet setiap bulan. Maka, jika anda tidak melakukan kemas kini, anda mungkin tidak boleh mendapatkan ‘ubat’ bagi melindungi komputer anda daripada serangan virus terbaru.

Tetapi, itupun bergantung kepada sejauh mana syarikat pengeluar produk antivirus anda ‘mengenali’ virus berkenaan. Jika mereka tidak mengenalinya, perlindungan komputer anda untuk diselamatkan daripada virus tersebut mungkin sifar.

Produk antivirus konvensional memerlukan capaian ke pangkalan data virus sedia ada kerana mereka menggunakan kaedah signature atau padanan untuk mengesan virus. Dalam erti kata lain, sekiranya virus tersebut baru atau tidak dikenali, maka ia mungkin tidak dapat membantu pengguna. Justeru, timbul persoalan selamatkah komputer kita daripada virus-virus baru yang tidak dikenali walaupun telah menggunakan perisian-perisian antivirus?

Memang ada kaedah lain yang digunakan untuk mengesan virus terbaru seperti heuristic, namun kaedah itu tidak semestinya berkesan.

Bagi sesetengah orang proses mengemas kini agak melecehkan dan mengambil masa. Lebih buruk, jika ia menyebabkan operasi komputer menjadi perlahan.


SEBAGAI perlindungan optimum, pengguna seharusnya melindungi komputer mereka dengan produk antivirus yang mampu menghapuskan virus yang sudah dikenali dan virus baru yang tidak dikenali. – Gambar hiasan


Namun begitu, sebuah syarikat Ikonasoftware AG sudah membuktikan bahawa perkara yang dianggap mustahil itu boleh direalisasikan. Syarikat milik bumiputera Malaysia yang berdaftar di Bahnhoffstrasse, Switzerland itu bakal melancarkan produknya yang dinamakan Ikona MAPS (Sistem Perlindungan Serangan Malware) tidak lama lagi. Didakwa sebagai produk antivirus pertama stand alone di dunia, ia melindungi komputer daripada serangan siber meliputi malware seperti virus, cecacing, eksploit, backdoor, key logger, trojan, wabbit, root kit, spyware serta penggodam.


MOHAMAD RAZALI menerangkan mengenai produk antivirus tanpa menggunakan talian Internet, Ikona MAPS di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Di peringkat global, syarikat ini berpangkalan di Switzerland manakala ibu pejabat Asia Pasifiknya terletak di negara ini.

PRODUK antivirus Ikona MAPS dijangka akan meledak di pasaran kerana ciri kelainan yang ditawarkan.



“Pengeluar-pengeluar produk antivirus Amerika Syarikat (AS) mengatakan yang ia mustahil. Tapi, kami, anak Malaysia membuktikan yang mereka salah,” kata ketua pegawai operasinya, Mohamad Razali Salleh ketika ditemui Infiniti di Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, baru-baru ini.



“Kita akan melancarkannya bermula di Malaysia sebelum di negara-negara yang lain. Walaupun 12 buah negara Eropah telah menandatangani perjanjian persefahaman dengan kita, tetapi kita tetap mahu memulakan pelancarannya di negara kita sendiri. Sebuah negara Eropah bahkan mahu kita membantu mereka bagi sekuriti komputer dalam bidang militari,” tambahnya sambil menjelaskan sistem sekuriti Ikona sesuai untuk segala peringkat daripada sekolah, rumah, pejabat, firma, bank, kerajaan sehingga ke bidang pertahanan.

Tidak menggunakan kaedah pengesanan ancaman virus dan seumpamanya menerusi pangkalan data virus, Mohamad Razali berkata, ia bermakna, Ikona mampu membunuh virus yang dikenali dan tidak dikenali.

“Kita tidak ada pangkalan data virus yang menyenaraikan virus yang kita sudah kenal. Ini kerana, kita tidak memerlukannya. Ikona boleh membunuh virus sama ada yang dikenali atau virus baru yang tidak dikenali,” katanya.

“Ikona adalah perisian pintar. Apa yang dilakukan Ikona hanyalah memfokuskan agar sistem komputer tidak ‘mesra malware’ dan melindungi data komputer daripada penceroboh. Ikona juga bukan membunuh virus apabila ia melepasi RAM sebaliknya sebelum ia memasuki RAM lagi,” katanya.

Menerima platform Microsoft XP SP1/2/3 dan Vista, ia juga mengawasi muat turun dan fungsi salinan. Ikona MAPS memudahkan kawalan sekuriti automatik sama ada pada dalaman dan luaran sistem serta memantau rangkaian sekuriti termasuk penggunaan peranti luaran seperti pemacu storan dan cakera padat.

Instalasi Ikona juga unik kerana menggunakan pemacu storan (thumbdrive) berbanding penggunaan cakera atau muat turun di Internet bagi produk antivirus konvensional. Ini kerana, kata Mohamad Razali, ia bagi mengelak sebarang bentuk penyalinan.

Semasa instalasi, Ikona akan melakukan imbasan ke seluruh sistem dan perisian yang ada dalam komputer dan ia dilakukan di antara 5 hingga 9 minit. Imbasan default Ikona pula disetkan setiap 30 saat dan diselesaikan dalam masa 8 saat. Ia tidak memperlahankan komputer.

“Ikona juga boleh diadaptasikan menurut kehendak pihak pengurusan sesuatu pejabat yang tidak membenarkan penggunaan internet, komunikasi secara talian atau pengaliran keluar-masuk data dalam kalangan pekerjanya,” katanya.

Ikona MAPS bakal boleh didapati pada harga di antara RM150 hingga RM500.

“Ikona MAPS dijangka akan meledak di pasaran kerana belum ada pesaing yang menawarkan perisian yang berciri sepertinya,” kata Mohamad Razali sambil memberitahu pihaknya telah melakukan demonstrasi ujian produk di salah sebuah kementerian di negara ini, baru-baru ini.

Enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai produk tersebut dan insan-insan di sebalik pembuatannya, Mohamad Razali berkata, ia hanya akan didedahkan apabila produk itu dijangka dilancarkan dalam pertengahan bulan ini.

Kepada pihak yang berminat untuk menjalinkan kerjasama dengan Ikonasoftware bolehlah menghubungi talian 03-2164 0218.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s